Rukun Yang
Ketujuh
Berkenaan Dengan
Kenabian dan Kerasulan.. Mereka mengajarkan hakikat adanya kenabian dan
kerasulan serta mereka menegaskan kebenaran adanya para Rasul a.s.s yang
diutuskan Allah kepada para hambaNya. Ini berlawanan dengan ajaran Brahminisme
(juga golongan materialis dan pascamodernis) yang menafikan itu walaupun mereka
percaya kepada Tuhan Yang menjadikan alam. Ahlis-Sunnah membezakan antara Rasul
dan Nabi. Nabi ialah setiap orang yang turun wahyu kepadanya dari Allah melalui
malaikat dan ia diperkuatkan dengan mu’jizat-mu’jizat yang menyalahi adat.
Rasul ia sesiapa yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut serta dikhaskan
baginya syariat yang baharu, ataupun atau ia datang memansukhkan sebahagian
daripada syariat yang terdahulu daripadanya. Ahlis-Sunnah menganggapkan kafir
orang yang mengaku nabi samaada sebelum Islam seperti Zardasyt, dan Mazdak dan
sebagainya, dan yang selepas Islam seperti Musailamah al-Kazzab, Sajah, dan
seterusnya.
Ahlis-Sunnah menganggap kafir golongan yang menisbahkan kenabian
bagi imam-imam atau mengaku mereka itu Tuhan seperti golongan al-Bayaniah,
al-Mansuriah, al-Khattabiyah, dan yang menjalani perjalanan mereka. (Termasuk
ke dalam kategori ini golongan-golongan sesat yang mengaku Tuhan dalam diri
mereka, atau pemimpin mereka menerima wahyu daripada Jibril, atau pemimpin
mereka mi’raj, bersemayam atas ‘Arasy dan seterusnya, termasuk juga mereka yang
mengaku adanya imam-imam maksum). Mereka mengajarkan: para Nabi a.s.s lebih
afdhal daripada para malaikat yang berlawanan dengan pendapat al-Husain bin
al-Fadl berserta dengan kebanyakan daripada golongan Qadariah yang mengajarkan
malaikat lebih utama daripada para Rasul a.s.s. Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa
para Nabi lebih afdal daripada aulia, ini berlawanan dengan mereka yang
berpendapat para aulia lebih afdal daripada anbia.
Mereka
mengajarkan para nabi maksum iaitu bersih daripada dosa. Ini berlawanan dengan
pegangan golongan Hisyamiah daripada firkah Syiah Rafidah yang berpegang kepada
pendapat para nabi boleh berdosa tetapi mereka mengajarkan bahawa para imam itu
maksum bersih daripada dosa.
Rukun Yang
Kelapan
Tentang Mu’jizat
Dan Karamah. Mereka mengajarkan bahawa mu’jizat ialah perkara zahir yang
menyalahi adat timbul pada seseorang nabi dalam menghadapi kaumnya dan kaumnya
lemah untuk menghadapinya, dan ini membenarkan dakwaannya sebagai nabi; maka
wajib ditaati nabi yang demikian. Mereka mengajarkan harus zahirnya kekeramatan
dari para aulia yang menunjukkan benarnya hal mereka itu. Golongan Qadariah
mengingkari adanya karmah aulia kerana mereka tidak mendapati orang yang
mempunyai karamah dalam golongan mereka. Ahlis-Sunnah mengajarkan Quran ada
mu’jizatnya dalam bentuk susunannya; ini berlawanan dengan pendapat Qdariah,
seperti an-Nazzam, yang menyatakan bahawa tidak ada mu’jizat dalam susunan
sistem al-Quran. Mereka mengajarkan ada mu’jizat Nabi Muhammad s.a.w. dalam
bentuk terbelahnya bulan, bertasbihnya anak batu di tangannya, keluarnya air di
celah-celah jarinya, memadainya makanan sedikit untuk orang yang sedemikian
ramai, dan yang sepertinya. Golongan Qadariah seperti al-Nazzam mengingkari
yang demikian itu.
Rukun
Kesembilan
Tentang Syariat
Islam Dan Rukun-Rukunnya. Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa Islam terdiri
daripada lima rukun, iaitu syahadah, perlaksanaan sembahyang lima waktu,
pembayaran zakat, puasa Ramadhan, dan ibadat haji ke Baitullahil-Haram. Mereka
mengajarkan sesiapa yang menggugurkan sesuatu rukun yang wajib daripada yang
lima ini dan mentakwilkannya seperti yang dilakukan oleh golongan al-Mansuriah,
dan al-Janahiah dari golongan ghulat Syiah Rafidah, maka ia kafir. (Ini sama
seperti setengah golongan sesat yang menggugurkan wajib sembahyang kononnya
kerana makam rohani yang tinggi yang dicapai oleh mereka). Mereka mengajarkan
sembahyang lima waktu, dan mereka menganggap kafir orang yang menggugurkan
setengah daripadanya, seperti Musalamah al-Kazzab yang menggugurkan wajibnya
sembahyang Subuh dan Maghrib; ia menggugurkannya itu sebagai mahar bagi
perkahwinannya dengan isterinya Sajah yang juga mengaku nabi; maka ia menjadi
kafir mulhid. (Ini sama dalam setengah perkara dengan golongan semasa yang
mengajarkan sembahyang itu bukan lima waktu, dan caranya bukan seperti yang
biasa diamalkan Ahlis-Sunnah, kerana golongan ini mahu berpegang kepada Quran
sahaja mengikut tafsiran sendiri bukannya mengikut sistem ilmu atau
epistemologi Sunni). Ahlis-Sunnah mengajarkan wajib sembahyang Jumaat dan
mereka menganggap kafir golongan Khawarij dan Syiah Rafidah yang mengajarkan
tidak ada sembahyang Jumuat sehingga zahir imam mereka yang mereka sedang
nanti-nantikan. (Maka tidak benar ajaran yang membolehkan orang-orang bersuluk
tidak sembahyang Jumaat dengan alasan bersuluk, kerana dikatakan penyakit hati
yang memerlukan suluk lebih besar daripada penyakit badaniah yang membolehkan
orang mukallaf meninggalkan sembahyang Jumaat).
Ahlis-Sunnah
mewajibkan zakat emas dan perak, wang, lembu kerbau, biji-bijian, makanan utama
seperti tamar dan seterusnya, dan sesiapa yang mengatakan tidak wajib zakat
dalam perkara-perkara tersebut, ia menjadi kafiir. Dijauhkan Allah. Mereka
mengajarkan wajib puasa pada bulan Ramadhan bila masuk bulan Ramadhan dengan
ru’yah.
Mereka anggapkan sesat Rafidah yang berpuasa sebelum kelihatan anak bulan sehari dan berbuka sehari sebelum dibolehkan berbuka. Mereka mengajarkan wajib menunaikan haji sekali seumur hidup bila seseorang itu ada kemampuan melakukannya dan aman jalannya. Mereka menganggap kafir golongan yang mengatakan tidak wajib ibadat haji seperti golongan Batiniah. Tetapi mereka tidak menganggap kafir pihak yang mengatakan umrah tidak wajib kerana ada khilaf antara imam-imam tentang wajibnya. Mereka mengajarkan syarat-syarat sah sembahyang yang terdiri daripada menutup aurat, masuk waktunya, mengadap kiblat, setakat yang mungkin. Sesiapa yang menggugurkan syarat-syarat ini atau sesuatu daripadanya walhal itu mungkin dilakukan maka ia kafir. Mereka mengajarkan bahawa jihad menghadapi para seteru Islam adalah wajib sehingga mereka tunduk dalam Islam, atau menunaikan jizyah. Mereka mengajarkan harus berjual beli dan haram riba. Mereka menganggap sesat golongan yang mengharuskan riba kesemuanya. Mereka mengharuskan nikah dan mengharamkan zina; mereka menganggapkan kafir golongan al-Mu’badiyah dan al-Mahmarah dan al-Khurramiyah yang mengharuskan zina. (Ini menyentuh golongan yang mengamalkan ‘nikah batin’ dalam kalangan golongan sesat yang mengajarkan ‘ilmu hakikat’). Ahlis-Sunnah mengajarkan wajib dilaksanakan hukum-hukum had atas zina, perbuatan meminum arak, mencuri, dan menuduh zina. Mereka anggap kafir golongan yang mengatakan tidak wajib had kerana minum arak, dan hukum rejam kerana zina seperti golongan Khawarij. Mereka mengajarkan bahawa punca-punca Syariah ialah al-Quran, Sunnah dan Ijma’ Salaf.
Mereka anggap
kafir golongan Khawarij yang menolak hujah-hujah ijma’ dan sunah-sunah, juga
mereka anggap kafir golongan Syiah Rafidah yang mengajarkan tidak ada hujah
dalam semua perkara tersebut. Yang menjadi hujah hanya ajaran imam ghaib yang
mereka sedang nanti-nantikan.
Rukun Yang
Kesepuluh
Tentang perintah
dan larangan dalam Syara’. Mereka mengajarkan bahawa perbuatan orang-orang
mukallaf terbahagi kepada lima bahagian, iaitu yang wajib, haram, sunat,
makruh, dan harus. (Diikuti dengan definisi-definisinya).
Rukun Yang
Kesebelas
Berkenaan Dengan
Hilangnya Para hamba dan hukum mereka di Akhirat. Mereka mengajarkan Allah
berkuasa membinasakan seluruh alam dan membinasakan setengah jisim dan
mengekalkan yang lainnya. Mereka mengajarkan bahawa Allah akan mengembalikan
semula hayat manusia dan makhluk-makhluk lainnya yang mati di dunia, ini
berlawanan dengan golongan yang mengatakan bahawa Allah menghidupkan semula
manusia sahaja tidak yang lain-lainnya.
Ahlis-Sunnah
mengajarkan bahawa Syurga dan Neraka adalah makhluk yang dijadikan, berlawanan
dengan pendapat golongan yang mengatakan bahawa kedua-duanyua bukan makhluk.
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa ni’mat Syurga kekal dan azab Neraka kekal atas ahli-ahlinya yang terdiri daripada mereka yang tidak membawa iman dan yang munafik. Ini berlawanan dengan pegangan mereka yang mengatakan bahawa Syurga dan Neraka tidak kekal, akan fana. Ahlis-Sunnah mengajarkan yang kekal dalam neraka ialah mereka yang tidak membawa iman, berlawanan dengan pendapat Khawarij dan Qadariah yang mengajarkan kekal di dalamnya tiap-tiap orang yang masuk ke dalamnya. Mereka mengajarkan golongan Qadariah dan Khawarij - yang telah dijelaskan sifat-sifatnya - kekal dalam Neraka. Dijauhkan Allah.
Mereka mengajarkan
tetap ada soal dalam kubur dan ada fitnah dan azab di dalamnya bagi mereka yang
berkenaan. Mereka memutuskan bahawa mereka yang mengingkari azab kubur akan
diazabkan di dalamnya. Mereka mengajarkan adanya Kolam Nabi, Sirat, dan Mizan
Mereka mengajarkan adanya syafaat dari Nabi s.a.w. dan daripada mereka yang
salih dari umatnya bagi mereka yang berdosa di kalangan Muslimin dan orang yang
ada sebesar zarah iman dalam kalbunya. Mereka yang mengingkari syafaat tidak
akan mendapat syafaat.
Rukun Yang Kedua
Belas
Berkenaan Dengan
Khilafah dan Imamah. Imamah, atau khilafah wajib atas umat Islam supaya
pihaknya menjalankan hukum dan amanah-amanah, menjaga dan menguatkan kubu-kubu
pertahanan, serta menghantar tentera jihad, membahagi-bahagikan fay’ - iaitu
harta yang didapati bukan melalui peperangan, dan menyelesaikan masalah
penzaliman ke atas mereka yang dizalimi. Diikuti dengan syarat-syarat imamah:
ilmu, keadilan, bangsa Quraisy.
Rukun Yang
Ketiga Belas
Berkenaan dengan
Iman, Islam. Mereka mengajarkan asal iman ialah ma’rifah, tasdiq (pembenaran)
dengan hati. Mereka mengajarkan wajib taat dalam perkara yang wajib dan sunat
dalam perkara yang sunat. Ahlis-Sunnah mengajarkan keimanan tidak hilang dengan
berlakunya dosa, tetapi hilang dengan berlakunya kekufuran. Dijauhkan Allah.
Orang yang berdosa dia mu’min, bukan kafir, walaupun ia menjadi fasik kerana
dosanya. Ahli Sunnah mengajarkan tidak halal membunuh orang mu’min melainkan
kerana salah suatu daripada yang tiga: murtad, zina selepas kahwin, atau hukum
qisas kerana orang itu membunuh orang. Ini berlawanan dengan golongan Khawarij
yang mengharuskan bunuh tiap-tiap orang yang melakukan maksiat.
Rukun Yang
Keempat Belas
Berkenaan Dengan
Para Wali dan Imam-Imam. Ahlis-Sunnah mengajarkan para malaikat maksum daripada
semua dosa berdasarkan ayat yang bermaksud: ”Mereka tidak derhaka terhadap
Allah tentang perkara yang diperintahkan kepada mereka dan mereka lakukan apa
yang disuruh” (Surah at-Tahrim: ayat 6). Kebanyakan mereka dalam Ahlis-Sunnah
mengajarkan bahawa para nabi a.s.s. melebihi kedudukan para malaikat, berlainan
daripada mereka yang menyatakan bahawa para malaikat melebihi kedudukan para
nabi. Pendapat ini menyebabkan pegangan bahawa malaikat Zabaniah penjaga Neraka
itu melebihi kedudukan ulul-‘azmi di kalangan para rasul.
Ahlis-Sunnah
mengajarkan: para nabi melebihi para wali, ini berlawanan dengan golongan
Karramiah yang mengajarkan para wali melebihi nabi. Ahlis-Sunnah mengajarkan:
keutamaan sepuluh orang Sahabat yang diputuskan oleh Nabi bahawa mereka ahli
syurga terdiri daripada empat khalifah, kemudian Talhah, Zubair, Sa’ad bin Abi
Waqqas, Sa’id bin Zaid, dan ‘Abd al-rahman bin ‘Auf, dan Abu ‘Ubaidah bin
al-Jarrah. Allah meredhai mereka. Mereka mengajarkan: terutamanya mereka yang
menjadi ahli perang Badar berserta dengan Nabi dan diputuskan bahawa mereka
ahli Syurga (Ini semua berlawanan dengan golongan yang mengkritik dan mencela
para sahabat terdiri daripada golongan Syiah Rafidah dan lainnya, dan juga
pengarang-pengarang moden yang suka mengkritik para Sahabat dan melanggar
adab-adab dalam hubungan dengan mereka, yang pembelaan tentang mereka itu
banyak dibuat oleh Qadi ‘Iyad rh dalam kitabnya al-Shifa).
Rukun Yang
Kelima Belas
Berkenaan Dengan
Hukum Tentang Para Musuh Islam. Ahlus-Sunnah mengajarkan: Para musuhnya ada
dua: yang sebelum Islam dan yang lahir zaman Islam dan yang menunjukkan secara
zahirnya mereka Orang Islam. Mereka yang sebelum Islam terdiri daripada
pelbagai golongan: para penyembah berhala dan patung; Yang mengikut aliran
hululiah yang mengajarkan roh Tuhan masuk meresap dalam bentuk-bentuk yang
cantik; para penyembah matahari, bulan, bintang-bintang semuanya atau setengah
daripadanya;
Yang menyembah
malaikat dan memanggilnya sebagai anak-anak perempuan Allah; yang menyembah
Syaitan (menyentuh “satanic cult” sekarang); menyembah lembu; menyembah api;
Pada Ahlis-Sunnah mereka yang menyembah berhala, manusia, dan malaikat,
bintang, api, dan sebagainya haram berkahwin dengan wanita mereka. Tentang
jizyah boleh diterima daripada Ahlil-Kitab dan mereka yang ada sesuatu kitab
seperti Ahlil-Kitab.
Mereka yang tidak
membawa iman sebelum Islam: golongan “sophist” - as-sufista’iyah - yang
mengingkari adanya hakikat ilmu, termasuk golongan al-Sumniyah yang mengajarkan
alam ini kadim, dan mereka mengingkari tilikan akal dan pengambilan dalil dalam
pemikiran, dengan dakwaan bahawa tidak ada yang boleh diketahui melainkan yang
melalui pancaindera sahaja.
Termasuk golongan Materialist klasik - dahriyah - yang mengajarkan alam ini kadim.
Termasuk golongan yang mengajarkan kadim benda awal alam (hayula al-‘alam)
Termasuk golongan ahli falsafah yang mengajar alam ini kadim dan mereka menolak adanya Tuhan Maha Pencipta; antara, mereka ialah Pythagoras. (Antara ahli sains moden tidak sedikit yang materialist dan menolak adanya Tuhan dan alam rohani). Muslimin bersepakat bahawa semua golongan tersebut tidak boleh dimakan sembelihan mereka dan wanita mereka tidak boleh dikahwini oleh Muslimin. (Diikuti dengan pendetailan hukum tentang jizyah dari mereka, perkahwinan dengan wanita mereka dan sebagainya).
Termasuk golongan Materialist klasik - dahriyah - yang mengajarkan alam ini kadim.
Termasuk golongan yang mengajarkan kadim benda awal alam (hayula al-‘alam)
Termasuk golongan ahli falsafah yang mengajar alam ini kadim dan mereka menolak adanya Tuhan Maha Pencipta; antara, mereka ialah Pythagoras. (Antara ahli sains moden tidak sedikit yang materialist dan menolak adanya Tuhan dan alam rohani). Muslimin bersepakat bahawa semua golongan tersebut tidak boleh dimakan sembelihan mereka dan wanita mereka tidak boleh dikahwini oleh Muslimin. (Diikuti dengan pendetailan hukum tentang jizyah dari mereka, perkahwinan dengan wanita mereka dan sebagainya).
Tentang mereka
yang tidak membawa iman dalam daulah Islam dan berselindung dengan zahir
Islam mereka, dan memperdaya Muslimin secara rahasia: mereka ialah golongan
Syiah ghulat rafidah al-Sababiah, al-Bayaniyah, al-Muqanna’iyyah, al-Mansuriah,
al-janahiah, al-Khattabiyah, dan lainnya yang berpegang kepada mazhab hulul dan
batiniah; juga mereka yang berpegang kepada tanasukh al-arwah - berpindah-pindahnya
roh masuk ke dalam badan manusia - terdiri daripada para pengikut ibn
Abil-Auja’ juga mereka yang mengikut ajaran Ahmad bin Ha’it dari golongan
Mu’tazilah. Juga termasuk: mereka yang berpegang kepada ajaran Yazidiah dari
golongan Khawarij yang menegaskan bahawa Syariat Islam menjadi mansukh dengan
adanya nabi dari golongan orang bukan Arab. Demikian seterusnya. (Termasuk ke
dalam golongan ini mereka yang mendakwa Syariat Islam “tergantung” kerana Imam Mahadi
belum datang; maka diharuskan oleh mereka itu zina, arak, dan sebagainya).
Golongan ini semua tidak halal dimakan sembelihan mereka dan wanita mereka
tidak boleh dikawini oleh Muslimin.
Ringkasnya
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa orang-orang yang menunjukkan amalan dan
pegangannya dalam Ahlis-Sunnah ialah mereka yang bebas daripada amalan-amalan
dan pegangan-pegangan golongan-golongan yang terkeluar daripada Islam, dan yang
terdiri daripada mereka yang mengikut hawa nafsu, walaupun mereka dinisbahkan
kepada Islam seperti Qadariah, Murjiah, Syiah Rafidah, Khawarij, Jahmiah,
Najjariah dan Mujassimah.